SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu belum mempunyai perancangan untuk menerima semula ahli yang dipecat atau digantung setakat ini sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO baru-baru ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan disiplin yang dibuat sebelum ini masih kekal berkuat kuasa dan belum timbul sebarang perkara berkaitan penerimaan semula tanpa syarat.
Mengulas tindakan sesetengah pihak yang membandingkan dengan langkah UMNO, Muhyiddin menegaskan, situasi kedua-dua parti adalah berbeza.
“Kita tak boleh banding dengan UMNO. Pasal mereka yang telah melakukan kesalahan yang melibatkan pihak Lembaga Disiplin dan tindakan baru sahaja diambil malah kesan daripada tindakan itu belum terasa lagi.
“Soal banding UMNO lain cerita. Jadi setakat hari ini, kita kekalkan keputusan itu dan kita tak tahu sama ada ada pihak merayu atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Bersatu Selangor hari ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dua Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sekiranya terdapat rayuan daripada mana-mana pihak, perkara itu akan melalui proses yang sewajarnya.
“Tapi kalau ada kes tertentu, itu pihak Lembaga Disiplin meneliti balik dan boleh kaji,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan, sehingga kini isu berkenaan belum timbul dalam parti.
Untuk rekod, dalam UMNO, Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula bekas ahli parti yang diperkenalkan oleh presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti itu.
Antara yang ditemui semula tanpa syarat adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – MalaysiaGazette
















