JOHOR BAHRU – Jualan hartanah dan lot bumiputera yang berharga RM300,000 dan ke atas di daerah ini masih rendah dengan hanya 20 peratus sahaja terjual.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jualan lot bumiputera di daerah lain berada pada tahap lebih baik sehingga 40 peratus terjual.
“Unit berharga bawah RM300,000 dikategorikan sebagai Rumah Mampu Milik Johor, manakala unit melebihi RM300,000 pula diklasifikasikan sebagai lot bumiputera.
“Dalam usaha menggalakkan penjualan unit tersebut, kerajaan negeri menawarkan insentif bagi menarik minat golongan bumiputera untuk memiliki rumah.
“Justeru, kerajaan negeri menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus kepada pembeli lot bumiputera bagi memastikan ia terjual,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) di Pusat Antarabangsa Austin, di sini hari ini.
Majlis penyampaian inisiatif PKJ itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri tidak tergesa-gesa untuk menukar status lot bumiputera itu namun ada garis masa yang perlu dipatuhi sebelum dibuka di pasaran umum.
Katanya, faktor lokasi yang jauh dari tempat kerja dan harga juga menjadi faktor penyumbang kepada lot bumiputera tidak terjual di daerah ini.
“Proses ini (menukar status lot) perlu melalui tempoh yang panjang dan ketat, bukan boleh lulus begitu sahaja, ini perlu melibatkan pihak pemaju serta campur tangan pihak kerajaan negeri.
“Sebab itu, kita tawarkan promosi kepada pembeli, pembeli itu tidak semestinya individu sahaja kerana lot bumiputera itu turut membabitkan lot industri dan komersial,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Datuk Onn Hafiz dan Mohd Jafni dalam Majlis Penyampaian Inisiatif PKJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, Johor Bahru hari ini.
















