Ivan Khong.

KUALA LUMPUR – Cemburu melihat rakan memliki komputer dan bermain permainan video di rumah sewaktu zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat buat Ivan Khong.

Kini dia nekad mengubah nasib pelajar golongan B40 di negara ini.

Usahawan komputer riba terpakai, Ivan, 30, yang berasal dari keluarga B40 mengakui keluarganya tidak mampu untuk membeli sebuah komputer riba baharu ketika usianya dibangku sekolah.

“Waktu sekolah dulu, saya cemburu tengok rakan yang ada komputer di rumah dan bermain permainan video. Keluarga saya tak mampu kerana ayah pemandu lori dan emak pula tukang jahit..jadi setiap kali hujung minggu, saya akan ke rumah kawan untuk tumpang bermain permainan video.

“Kini saya sudah bergelar usahawan dan bila berjumpa dengan murid dan pelajar B40 terus teringat kenangan waktu kecil dulu.

“Tersentuh juga bila tengok riak wajah mereka yang sebak ketika terima komputer riba pemberian saya,” katanya.

Ivan Khong juga pempengaruh media sosial.

Sifat pemurah beliau yang dikenali sebagai Boss A di platform Tik Tok menarik perhatian kerana sering menyantuni pelajar sekolah.

Malah Ivan dilihat sering memberi sumbangan komputer riba khususnya buat mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya bukan nak menjual dan menyumbang saja tapi mahu beri harapan untuk orang di luar sana bangkit semula dan teruskan perjalanan.

“Impian saya adalah bantu lebih ramai orang di luar sana dan lihat tiada lagi pelajar di negara ini yang ketinggalan hanya kerana tiada komputer riba,” jelasnya.

Usahawan muda itu berkata, apa yang dikongsi bukan sekadar content atau mengumpul pengikut sebaliknya ingin menyuntik harapan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau yang menjana pendapatan RM1 juta pertama ketika berusia 24 tahun berkata, sehingga kini lebih 1,000 komputer riba telah disumbangkan kepada murid dan pelajar sekolah sejak dua tahun lalu.

Lazimnya, Ivan akan mendapatkan maklumat daripada ibu bapa pelajar dan menyampaikan sumbangan secara terus kepada penerima atau menerusi pihak sekolah.

“Sumbangan komputer riba itu disampaikan menerusi inisiatif e-Dream Come True dengan harapan murid juga pelajar daripada keluarga B40 dapat komputer riba berkualiti.

“Apa saya lakukan ini juga seiring dengan inisiatif Go Green World diketengahkan syarikat iaitu menjual dan komputer riba terpakai bagi menyelamatkan bumi dengan mengurangkan kira-kira 10 hingga 20 peratus sisa elektronik (e-waste).

“Kini, saya dapat menyumbang kira-kira 100 komputer riba dalam sebulan. Emak dan ayah masih ada, nampak mereka bangga tengok saya tolong ramai orang.

“Saya tak hebat pun malah sampai tahap ini sebab pengikut yang banyak bantu sokong perniagaan saya,” katanya yang pernah menjadi juruteknik dan jurujual komputer selepas tamat persekolahan.

Ivan turut berkongsi pelbagai cabaran dilalui sepanjang dalam dunia perniagaan sehingga hampir berputus asa apabila jualannya merosot selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sampai satu tahap, Ivan pernah hampir berputus asa terutama ketika jualannya merosot selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi bangkit kerana sokongan insan sekeliling.

“Saya bermula di platform urus niaga dalam talian dengan bermodalkan duit pinjaman kad kredit. Saya tak pernah dipandang rendah cuma pernah malu sebab jual komputer riba terpakai kerana ada yang tanya sejauh mana ia masih berguna.

“Cabang perniagaan ini pun rumit kerana menuntut banyak komitmen dan perlu ada juruteknik ramai tapi minat buat saya bertahan sehingga sekarang,” katanya yang menjual kira-kira 6,000 unit komputer riba dalam sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast