Akmal Yusoff.

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan penternakan babi di negeri itu adalah jelas, muktamad dan wajib dipatuhi semua pihak tanpa sebarang kompromi.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pejuang Selangor, Akmal Yusoff berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang cuba membangkitkan isu itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan mencabar prinsip ketaatan kepada institusi raja.

“Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah jelas dan tidak tertakluk kepada sebarang rundingan semula.

“Isu ini sepatutnya telah selesai dan semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Siew Ki yang juga wakil rakyat DAP itu semasa membahaskan titah Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undanga Negeri (DUN) memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Dalam pada itu, Akmal juga mempersoalkan pendirian Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dilihat masih berdiam diri terhadap tindakan pihak tertentu yang terus membangkitkan isu tersebut.

“Sebagai parti yang bersama dalam kerajaan negeri, BN dan UMNO seharusnya memainkan peranan lebih tegas bagi memastikan semua pihak menghormati titah Sultan Selangor,” katanya.

Menurut Akmal, isu penternakan babi bukan sekadar perdebatan polisi semata-mata, sebaliknya melibatkan kesan langsung terhadap kehidupan rakyat termasuk pencemaran sungai, sumber air, bau busuk serta risiko kesihatan awam.

“Ini bukan soal kekurangan idea atau teknologi, tetapi soal realiti yang telah lama ditanggung rakyat. Jangan ulang kesilapan lalu hanya kerana mahu memenuhi kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Jelas Akmal, keperluan bekalan daging bagi masyarakat bukan Islam boleh dipenuhi melalui kaedah import tanpa perlu membuka ruang kepada penternakan yang berpotensi menjejaskan alam sekitar dan keharmonian masyarakat.

“Kepatuhan kepada institusi raja bukan sesuatu yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik tertentu.

“Isu ini telah selesai dari sudut keputusan. Mereka yang terus memanjangkannya dilihat enggan akur terhadap titah Sultan Selangor.

“Titah telah dizahirkan, keputusan telah dimuktamadkan dan tiada ruang untuk ingkar atau berdalih. Daulat Tuanku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast