Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas wawancara eksklusif bersama Presiden UMNO bersama Ketua Penerangan UMNO ketika dI WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2026.

​KUALA LUMPUR – UMNO tidak menolak kemungkinan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha mengambil kesempatan daripada kemelut yang sedang melanda Negeri Sembilan ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah menjadi dalam dunia politik bagi mana-mana pihak untuk mencari ruang dan peluang apabila timbul ketidakstabilan dalam sesebuah pentadbiran.

​”Dalam politik tentu peluang sedang dicari.

“Tentunya peluang ini yang cuba dirangkul oleh mereka (PN),” katanya ringkas ketika ditemui media di WTC hari ini.

Beliau merujuk kepada tindakan barisan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Negeri Sembilan mengumumkan keputusan yang mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan kerajaan negeri.

“Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Nasional akan meneliti implikasi politik daripada keputusan tersebut.

“Walaupun Pusat menyedari perancangan di peringkat negeri, tetapi UMNO mempunyai sistem yang menyantuni keputusan perhubungan Negeri sebelum sebarang kata putus dibuat di peringkat Biro Politik dan Majlis Tertinggi,” katanya.

​Mengulas lanjut mengenai punca pergolakan, Ahmad Zahid berkata, keputusan UMNO Negeri Sembilan itu dipercayai berakar umbi daripada kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun berkaitan institusi adat.

​”Menteri Besar Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan mengenai institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri berkenaan.

“Inilah yang mungkin menyebabkan ADUN-ADUN daripada parti kami membuat tindakan sedemikian,” jelasnya.

Terdahulu, Adun pembangkang negeri itu daripada PN yang mempunyai lima kerusi mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan BN bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri yang kini berdepan krisis kepimpinan.

Tindakan itu susulan daripada kenyataan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias Bersama 14 ADUN UMNO daripada BN mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

Krisis yang berlaku itu dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serta kesejahteraan rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast