Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap ketika ditemui wartawan pada Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi. Foto SADIQ SANI, 27 APRIL 2026.

BANGI – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertindak mengunci mulut mengenai strategi Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada gabungan itu benar-benar akan turun gelanggang secara solo.

Naib Presiden UMNO itu menegaskan perkara berkenaan masih menjadi rahsia parti dan akan diumumkan pada masa sesuai.

“Adakah BN akan bertanding solo ataupun berparti dalam PRN Melaka? Itu rahsia parti,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-persatuan Veteran ATM, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mana parti itu akan bertanding secara solo menggunakan lambang dacing, tanpa menggunakan lambang parti lain atau gabungan.

Namun, ujar Ahmad Zahid, BN tidak menolak kemungkinan kerjasama secara berunding bagi mengelakkan pertembungan serta memastikan jentera parti dapat saling membantu.

Ditanya mengenai nama-nama besar yang pernah menganggotai UMNO memohon untuk menyertai semula parti itu, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Itu bila sampai masa kita akan umumkan,” katanya ringkas.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan inisiatif Rumah Bangsa yang kini dilihat sebagai antara usaha baharu UMNO mendekati generasi muda.

Menurutnya, Rumah Bangsa bukanlah semata-mata platform untuk menerima kembali bekas ahli yang pernah meninggalkan parti seperti yang dispekulasikan segelintir pihak.

Sebaliknya, beliau menegaskan Rumah Bangsa diwujudkan sebagai wadah bagi memudahkan golongan muda menyertai UMNO tanpa perlu melalui proses yang mungkin dilihat tidak menggalakkan.

“Rumah Bangsa ini kita kena faham bukanlah terhad kepada soal untuk mengembalikan mereka yang dahulu pernah menjadi ahli UMNO,” katanya.

Tambah beliau, platform itu juga akan dikembangkan sebagai ruang terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan dan cadangan bagi memajukan negara serta bangsa.

Inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah strategik UMNO dalam memperkukuh sokongan generasi baharu menjelang pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan Ahmad Zahid untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti itu.

Antara yang diterima semula tanpa syarat adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast