AMPANG – UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap pentadbir akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Center iaitu Persatuan Penganut Agama Buddha Amitabha Huayan Selangor yang didakwa membuat hantaran yang menghina Sultan Selangor dengan wajah babi.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mewakili UMNO Selangor berkata, hantaran itu dipercayai berniat jahat dan sengaja mencetuskan isu sensitif, penghinaan terhadap Sultan Selangor yang boleh menggugat kedaulatan institusi diraja Selangor.
“UMNO Selangor serta 10 Ketua UMNO Bahagian dari Selangor berasa marah dan menggesa agar tindakan tegas diambil ke atas pihak yang mencetuskan isu-isu sensitif ini terutamanya yang melibatkan institusi raja.
“Kami menggesa agar organisasi ini disiasat berkenaan kaitan dan pihak yang terlibat dengan hantaran penghinaan terhadap Istana Selangor.
“Saya kesal dengan respon-respon seperti ini yang boleh menggugat keharmonian kaum dan menjejaskan kedaulatan institusi raja dalam negara kita khususnya di Selangor,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Pada 10 Februari lalu, Sultan Selangor menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.
Susulan larangan tersebut, Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki semasa membahaskan titah Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Tindakan biadab wakil rakyat DAP itu bagaimanapun mengundang tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu sehingga berlaku penularan gambar Sultan Selangor dengan wajah babi dengan kapsyen Sultan Selangor gemuk babi, hari suka makan tahi.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, pihaknya turut membuat laporan polis terhadap Siew Ki itu susulan penghinaan terhadap Sultan Selangor pada Ahad bermula dengan kenyataan beliau sendiri.
“Isu ini dicetuskan Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan yang membangkitkan isu penternakan babi di Selangor dalam ucapan perbahasan beliau di Dewan Negeri Selangor.
“Ia bertentangan dengan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang secara tegas menitahkan bahawa tidak diadakan penternakan babi di Selangor.
“Rentetan itu, isu ini terus dibangkitkan pemimpin politik, aktivis dan pihak berkepentingan mempertahankan pendirian Siew Ki sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dan menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, kata Jamal, UMNO Selangor menggesa pihak polis mengambil tindakan segera dan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini perlu dikenakan tindakan tegas.
“Saya juga percaya wujud elemen-elemen kesalahan yang boleh disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan apa-apa peruntukan undang-undang lain yang mungkin terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















