SHAH ALAM – Polis Selangor bersama polis bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) KLIA berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja seberat 183.7 kilogram (kg) bernilai RM14.7 juta menerusi dua operasi baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, operasi berasingan pada 21 dan 23 April lalu di KLIA dan sebuah kediaman di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan itu membawa kepada penahanan dua wanita iaitu dalang dan keldai sindiket.
“Pada 21 April, polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA menahan seorang wanita tempatan di sekitar Mambau, Negeri Sembilan.
“Pemeriksaan lanjut di kediamannya menemukan 18 guni berisi 289 bungkusan bunga ganja 153.7 kg bernilai RM12.3 juta.
“Serbuan kedua apabila polis MAHB KLIA mengesan dua bagasi berisi 60 bungkusan dadah seberat 30 kg bernilai RM2.4 juta.
“Pemilik bagasi yang merupakan wanita warga asing itu turut ditahan,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor hari ini.

Kedua-dua wanita berusia 34 dan 24 tahun itu masing-masing bujang warga tempatan dan warga asing.
Jelas Shazeli, wanita warga asing yang ditahan di KLIA menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membawa bunga ganja itu ke luar negara untuk dijual dengan bayaran yang lumayan dan kos penerbangan percuma.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jumlah keseluruhan bunga ganja yang dirampas dianggarkan berpotensi menampung penggunaan sehingga 613,000 orang pada suatu masa.
“Rampasan ini membuktikan kewujudan sindiket dadah berskala besar yang aktif dan terancang serta memberi ancaman serius kepada masyarakat.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran bagi membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya,” katanya lagi.
Sementara itu, Shazeli mengakui rampasan tersebut turut membuktikan terdapat permintaan bunga ganja yang tertumpu di luar negara. – MalaysiaGazette

















