KUALA LUMPUR – Polemik berhubung cadangan menghidupkan semula penternakan babi di Selangor perlu dihentikan segera kerana berpotensi menggugat keharmonian masyarakat dan mencabar institusi diraja.
Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, isu itu tidak lagi wajar diperdebatkan memandangkan pendirian Sultan Selangor dan kerajaan negeri telah dinyatakan dengan jelas.
Beliau menegaskan, titah Sultan Selangor sebelum ini yang tidak memperkenankan penternakan babi diteruskan di negeri berkenaan mengambil kira faktor alam sekitar, sensitiviti agama dan kesejahteraan awam.
Katanya, kerajaan negeri turut menyusuli titah itu dengan langkah dasar termasuk menghentikan pengeluaran lesen baharu serta menutup ladang secara berperingkat.
“Keperluan bekalan pula telah distruktur semula melalui kaedah import, sekali gus menafikan dakwaan bahawa penternakan tempatan adalah keperluan mendesak.
“Data semasa menunjukkan bekalan daging babi sedia ada telah pun banyak bergantung kepada sumber luar tanpa menimbulkan gangguan kepada pasaran,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Shatar berkata, tindakan terus membangkitkan isu berkenaan memperlihatkan kecenderungan mencabar keputusan dasar yang telah dimuktamadkan.
Beliau menjelaskan, penternakan babi berskala besar mempunyai implikasi langsung terhadap alam sekitar termasuk pencemaran bau, pencemaran sumber air dan tekanan kepada kawasan penempatan padat.
“Dalam konteks Selangor yang berpenduduk padat, risiko ini bukan bersifat teoritikal, tetapi realiti yang telah lama dibangkitkan oleh masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu berkenaan turut menyentuh sensitiviti majoriti masyarakat Melayu dan umat Islam, sekali gus memerlukan tahap kepekaan yang tinggi dalam kalangan pembuat dasar.
Katanya, wakil rakyat tidak boleh berselindung di sebalik alasan membawa suara rakyat tanpa menilai implikasi lebih besar terhadap kestabilan sosial dan kerangka Perlembagaan.
“Tindakan mengangkat isu yang bertentangan dengan titah Sultan menunjukkan kegagalan memahami sempadan antara hak bersuara dan tanggungjawab memelihara keharmonian.
“Semua pihak perlu menghormati titah, mematuhi keputusan dasar sedia ada dan mengelakkan sebarang polemik yang boleh menghakis kepercayaan serta keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















