Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi KL bagi menyambung perbicaraan mengenai empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – “Ini bukan soal Bersatu sahaja, ia juga libatkan Pas dan kami ambil pendirian atas nama Perikatan Nasional (PN)”.

Itu ulasan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kekecohan senario politik di Negeri Sembilan pada masa ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengulas lanjut isu berkenaan dan semua pihak perlu menunggu kenyataan Pengerusi atau Setiausaha Agung PN.

“Boleh tanya Datuk Takiyuddin,” ujarnya ringkas kepada wakil media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau ditanya kemelut politik yang semakin memuncak di negeri itu susulan dakwaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN menyokong pembentukan kerajaan baharu bersama Barisan Nasional (BN).

Hari ini bekas Perdana Menteri itu dibicarakan terhadap pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan suapan berjumlah RM225.3 juta di Mahkamah Tinggi di sini.

Sementara itu, di Terengganu, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan itu tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Namun Menteri Besar Terengganu itu berkata, pendekatan berhati-hati perlu diambil dengan memantau perkembangan semasa terlebih dahulu.

“Kita melihat dan memantau langkah seterusnya sebelum membuat keputusan. Segala-galanya boleh berlaku dalam politik,” ujar beliau di Kuala Terengganu, malam tadi.

Semalam, lima ADUN PN di negeri itu dilapor sedia bekerjasama dengan BN bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri yang kini berdepan krisis kepimpinan.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dalam sidang media khas.

Perkembangan itu susulan tindakan kesemua 14 ADUN UMNO sebulat suara menarik sokongan selepas hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga ADUN PKR Sikamat.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan tindakan itu diambil kerana kecewa dengan krisis institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast