Nurhafizah Jamaludin

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu untuk terlalu berbangga dengan senarai 74 bentuk bantuan yang diumumkan sebelum ini sedangkan hakikatnya rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Ketua Wirawati Parti Putra Malaysia, Hafizah Jamaludin mendakwa, rakyat tidak dapat menikmati manfaat sebenar daripada pelbagai pengumuman bantuan sekiranya isu asas ekonomi tidak diselesaikan.

Menurutnya, senarai bantuan yang panjang tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan kerajaan sekiranya kehidupan rakyat masih tidak berubah, khususnya peniaga kecil, golongan muda dan isi rumah berpendapatan rendah yang terus terhimpit.

“Kerajaan bukan menyelesaikan punca masalah, sebaliknya hanya menukar nama bantuan lama, menjenamakan semula dasar dan mengulang pengumuman seolah-olah ia kejayaan baharu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mendakwa bantuan tunai seperti STR, SARA, Rahmah, eWallet dan pelbagai inisiatif lain merupakan dana rakyat serta hasil negara, justeru kerajaan hanya berperanan sebagai pengurus amanah dan bukannya ‘dermawan’.

Katanya lagi, penggunaan bantuan sebagai alat membina imej politik dilihat tidak wajar kerana ia berpunca daripada wang rakyat sendiri.

“Kerajaan hanya memanjangkan senarai, memecahkan nama bantuan dan menukar label dasar lama supaya nampak baharu sedangkan kos hidup terus meningkat,” katanya.

Hafizah turut mendakwa, kenaikan kos seperti diesel, pengangkutan, cukai dan harga barangan akhirnya kembali menekan rakyat walaupun terdapat pengumuman penurunan tertentu dalam beberapa barangan.

Beliau juga mendakwa, tidak semua rakyat yang layak benar-benar menerima bantuan kerana kekangan syarat kelayakan yang ketat menyebabkan ramai golongan yang masih memerlukan terpinggir.

“Bantuan bersasar ini pada akhirnya banyak tersasar kerana sistem tidak benar-benar menangkap realiti kesusahan rakyat di bawah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya mengurangkan keperluan bantuan dengan memperbaiki ekonomi rakyat secara menyeluruh bukan memperbanyakkan skim bantuan sebagai ukuran kejayaan.

Beliau turut menyifatkan 74 bantuan yang diumumkan sebagai ‘setitik air dalam baldi bocor’ kerana kesan kenaikan kos hidup didakwa lebih besar berbanding bantuan yang diberikan.

Katanya lagi, rakyat akan menilai kerajaan pada pilihan raya akan datang berdasarkan keadaan hidup sebenar, bukan pada jumlah bantuan atau slogan yang diperkenalkan.

“Jika selepas 74 bantuan rakyat masih terhimpit maka masalahnya bukan kurang bantuan tetapi kegagalan mengurangkan beban rakyat,” katanya sambil menggesa penurunan harga minyak dan diesel serta pengembalian subsidi yang disifatkan sebagai hak rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.