Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa sehingga menjejaskan kestabilan politik negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan ketika ini adalah menjaga kepentingan negeri, menghormati serta memuliakan institusi diraja yang menjadi tunjang sistem pemerintahan negara.

“Jadi tidak adil untuk dihukum dan diambil keputusan terburu-buru untuk menidakkan dan menimbulkan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan.

“Ini kerana pilihan yang ada pada Menteri Besar adalah untuk menjaga kepentingan negeri, menghormati dan memuliakan institusi raja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meluncurkan pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di Le Quadri, Kuala Lumpur.

Semalam, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), isu yang melibatkan institusi raja perlu ditangani secara berhemah, bijaksana dan berpandukan lunas undang-undang serta Perlembagaan negeri.

“Saya menegaskan bahawa kita perlu menjaga kemuliaan institusi raja kerana ini adalah sistem yang telah kita terima pakai,” katanya.

Anwar juga menzahirkan penghargaan atas pertimbangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir yang menitahkan Menteri Besar meneruskan tugas demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

“Saya telah menghadap Tuanku Mukriz dan berterima kasih atas pertimbangan baginda supaya Menteri Besar meneruskan tugas demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

“Dalam hal itu, Menteri Besar juga menerima titah Tuanku dan akan menjalankan tugas sehingga isu-isu berkait dengan Perlembagaan negeri itu diluruskan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kemelut itu bukan berpunca daripada kerajaan negeri atau Menteri Besar, sebaliknya melibatkan tafsiran undang-undang negeri yang turut membabitkan Undang dan Yang di-Pertuan Besar.

“Apa yang berlaku selepas ini terserah kepada proses yang diputuskan oleh Negeri Sembilan mengikut saluran yang sewajarnya,” katanya katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast