CYBERJAYA – Kerajaan bercadang memperkasa Bahagian Penguatkuasaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) termasuk menilai cadangan menaik tarafnya sebagai sebuah jabatan, susulan peningkatan kes terutama dalam sektor e-dagang.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu telah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri yang mengiktiraf keperluan memperkukuh kapasiti serta keupayaan penguatkuasaan KPDN selaras dengan cabaran semasa.
Menurut beliau, kerajaan turut meneliti pendekatan untuk menyelaraskan fungsi penguatkuasaan di beberapa kementerian lain di bawah KPDN bagi mengelakkan pertindihan dan mengoptimumkan sumber sedia ada.
“Kerajaan melihat tidak perlu setiap kementerian mempunyai unit penguatkuasaan sendiri, sebaliknya fungsi tersebut boleh dilaksanakan oleh KPDN yang lebih berpengalaman dalam penguatkuasaan perdagangan domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke-54 serta Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Datuk Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar serta Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, langkah itu juga mengambil kira keperluan kementerian lain seperti sektor perladangan yang memerlukan elemen penguatkuasaan, yang boleh disokong oleh KPDN.
Dalam pada itu, Armizan berkata, pihaknya kini sedang menjalankan kajian bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meneliti secara menyeluruh cadangan menaik taraf bahagian penguatkuasaan tersebut.
Katanya, kajian itu akan mengambil kira dasar semasa kerajaan termasuk pengoptimuman sumber manusia, namun penambahbaikan struktur penguatkuasaan dilihat sebagai keperluan mendesak.
“Cadangan ini akan diusahakan untuk dibawa ke Kabinet secepat mungkin memandangkan peningkatan kes, khususnya dalam e-dagang, memerlukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh penguatkuasaan itu juga sejajar dengan perancangan kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu atau meminda akta sedia ada berkaitan perdagangan elektronik.
“Pindaan tersebut dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang dan memerlukan sokongan pasukan penguatkuasaan yang mantap bagi memastikan pelaksanaannya berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















