Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan transasksi membabitkan wang berjumlah kira-kira AS$1.7 juta yang disimpan dalam dua akaun perbankan di Amicorp Bank and Trust Limited, Barbados yang dipercayai melibatkan dana diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perintah larangan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid pada 28 April lalu.

Ia selepas hakim berpuas hati dengan permohonan di Bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaian Keganasan Dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 oleh pendakwaan yang menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti wang haram.

Wang itu susulan siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM yang mendapati dalam tempoh antara 2014 hingga 2019 – beberapa individu yang merupakan pemegang akaun bank serta pengarah kepada beberapa syarikat yang ditubuhkan di luar negara – disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti menerima, menyembunyi, memindah dan mengubah wang hasil daripada aktiviti haram melalui akaun-akaun bank syarikat tersebut di Barbados.

Susulan itu, mahkamah yang sama telah membenarkan perintah larangan transasksi kewangan melibatkan wang berjumlah AS$56,285.88 dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan wang berjumlah AS$1, 649, 118.40 dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC.

Perintah larangan itu selaras dengan komitmen SPRM untuk terus mengesan, membeku dn melucut hak wang serta asset hasil aktiviti penggubahan wang haram termasuk di luar negara berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah, usaha pemulihan aset bukan sekadar Tindakan penguatkuasaan tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.

“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan,” katanya.

Beliau menegaskan SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan segala saluran perundangan yang ada bagi memastikan aset yang disembunyikan di luar negara dapat dikesan, dibekukan dan dilucut hak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast