KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menyeru supaya menolak sebarang usaha mengulangi budaya politik tebuk atap susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminudin Harun.
Pengerusinya, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman berkata, budaya politik khianat dan tidak berprinsip itu perlu dihentikan segera bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri tidak terganggu.
“Rakyat masih trauma dengan kesan buruk langkah seumpama itu pada tahun 2020 yang mencetuskan ketidakstabilan politik serta menjejaskan pengurusan ekonomi negara.
“Budaya politik khianat dan tebuk atap mesti ditolak. Negeri Sembilan memerlukan politik yang stabil, berakhlak dan menghormati mandat rakyat.
“Tindakan menarik sokongan secara mengejut ini bukan sahaja mengkhianati Amanah dan Pakatan Harapan (PH), malah mencabuli mandat rakyat yang diberikan berasaskan persefahaman Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
M K Ibrahim berkata, alasan kegagalan menyelesaikan kemelut melibatkan institusi beraja dan adat di negeri itu yang dijadikan sandaran kepada tindakan berkenaan.
“Sebagai rakan gabungan, UMNO sepatutnya bersama-sama pentadbiran menteri besar mencari jalan penyelesaian secara berhemah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Isu melibatkan institusi adat dan perlembagaan tidak seharusnya dijadikan alat untuk menghalalkan langkah politik. Semua pihak perlu menghormati proses perundangan yang sah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amanah Negeri Sembilan turut memandang serius tindakan lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang turut menyokong langkah berkenaan.
“Sepatutnya tumpuan diberikan kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kami tetap memberi sokongan penuh kepada Aminuddin untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai menteri besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















