Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas wawancara eksklusif bersama Presiden UMNO bersama Ketua Penerangan UMNO ketika dI WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2026.

CYBERJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kemelut politik di Negeri Sembilan akan diselesaikan melalui saluran politik dengan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada, bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara.

Presiden UMNO itu berkata, keutamaan ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh supaya dapat terus mendepani isu serta kebajikan rakyat.

Menurutnya, semua pihak perlu menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai asas dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan DUN khususnya di Negeri Sembilan.

“Pada hemat saya, ia tidak semudah itu dan paling baik ialah mengikuti semua peraturan serta prosedur bagi memastikan segala ketetapan dipatuhi terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menegaskan bahawa penyelesaian akan dibuat melalui pendekatan politik tanpa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau melibatkan undang-undang adat Negeri Sembilan.

Mengulas kemungkinan kerjasama politik termasuk dengan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut di peringkat tertinggi.

“Perbincangan dengan Perdana Menteri itu penting dan masalah politik harus diselesaikan secara politik, bukan dengan cara lain,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan satu perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan hari ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan di mana pertemuan empat mata itu akan berlangsung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast