KUANTAN – Pergaduhan kerana isu hutang menjadi punca seorang remaja dipukul dan ditendang beberapa remaja lelaki lain dalam kejadian di Pekan semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, pihaknya telah menahan enam remaja bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pondok bersebelahan Pejabat Majlis Ugama Islam Pahang kira-kira pukul 5 petang semalam membabtkan remaja berusia lingkungan umur 13 hingga 16 tahun di mana dua daripada mereka tidak lagi bersekolah.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku akibat pertikaian hutang antara mangsa dan suspek utama, yang telah mencetuskan pergaduhan secara fizikal.
“Siasatan lanjut turut mendapati penglibatan lima lagi individu lain yang telah bertindak memukul mangsa. Kejadian tersebut disaksikan oleh beberapa individu dan turut dirakam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan dan membuat pemeriksaan di Unit Kecemasan Hospital Pekan.
Jelasnya, laporan awal perubatan mendapati terdapat kecederaan tisu lembut dibahagian pipi kanan mangsa.
“Berikutan itu, polis telah menahan ke enam-enam remaja terbabit kira-kira pukul 1.30 awal pagi tadi. Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga siasatan dilengkapkan,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 147/507D Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















