KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mempergiat usaha advokasi serta memperkenalkan lebih banyak program berbentuk fizikal bagi menangani isu keganasan rumah tangga (KRT) yang terus membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian kini lebih agresif dalam memperluas program kesedaran dan keselamatan, termasuk melalui penyertaan Malaysia dalam agenda Women, Peace and Security (WPS).
“Kita akan lakukan program yang lebih berbentuk fizikal untuk melindungi dan untuk mereka sendiri mengetahui macam mana cara kalau berlaku sesuatu terhadap wanita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Nancy berkata, antara intervensi utama adalah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan segera kepada mangsa, termasuk keperluan kebajikan dan perlindungan.
Selain itu, Jabatan Pembangunan Wanita turut menyediakan platform seperti Pusat Sokongan Wanita bagi memberi panduan dan khidmat nasihat kepada mangsa.
Dalam masa sama, beliau mendedahkan bahawa antara cabaran utama adalah apabila mangsa menarik balik laporan polis yang telah dibuat.
Tambah beliau, faktor utama tindakan itu adalah ketakutan kehilangan tempat bergantung serta kekangan kewangan.
Sehubungan itu, Nancy menggesa mangsa supaya tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa takut, memandangkan pelbagai kemudahan telah disediakan kerajaan termasuk rumah perlindungan dan talian bantuan.
“Kepada wanita di sana yang menjadi mangsa, janganlah takut kerana KPWKM ada tempat untuk perlindungan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa talian hotline 15999 disediakan untuk membantu mangsa, termasuk sokongan dalam pelbagai bahasa.
Mengulas lanjut, Nancy berkata kementeriannya juga akan mengemukakan cadangan kepada agensi berkaitan bagi memperkukuh aspek perundangan dan mempercepatkan penguatkuasaan kes KRT.
“Kami akan tulis proposal kepada pihak berkenaan supaya perkara ini diambil kira dan diambil tindakan untuk penguatkuasaan dipercepatkan dan diperkukuhkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan termasuk sesi perkongsian oleh mangsa terdahulu telah menunjukkan kesan positif apabila semakin ramai tampil mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette
















