LANGKAWI – Dakwaan seorang pelancong asing diserang sekumpulan anjing liar di sekitar Pantai Cenang di sini, tular di media sosial hari ini.
Perkongsian itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Isjco Coffee yang memaklumkan pelancong dikenali sebagai Rene dari Amsterdam datang bersendirian dan berada di pulau ini selama dua minggu dengan menginap di beberapa lokasi.
Menurut hantaran berkenaan, lelaki itu bagaimanapun berdepan detik hitam apabila mengalami kecederaan pada muka dan kaki selepas diserang kira-kira enam ekor anjing dengan dua gigitan.
“Beliau (Rene) menerima banyak jahitan serta mengalami luka yang dalam akibat serangan tersebut,” menurut hantaran itu.
Dalam masa sama, pelancong berkenaan dilaporkan menzahirkan penghargaan kepada penduduk tempatan yang membantu serta pihak Hospital Sultanah Maliha yang memberikan rawatan.
Hantaran sama turut memaklumkan beliau akan berangkat pulang ke Amsterdam esok selepas menerima rawatan.
“Rene juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua penduduk Langkawi serta pihak hospital yang merawatnya dengan penuh prihatin.
“Beliau turut berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan terhadap isu anjing liar bagi mengelakkan kejadian sama berulang selain tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke pulau berkenaan,” menurut hantaran itu lagi.
Sementara itu, pemilik akaun berkenaan turut menggesa pihak berwajib supaya menyegerakan tindakan terhadap isu anjing liar yang disifatkan sebagai serius.
ARTIKEL BERKAITAN
Anjing liar jejas imej pelancongan Langkawi
Kanak-kanak lelaki parah diserang anjing liar
Media pada 26 Februari lalu melaporkan isu anjing liar di Pulau Langkawi perlu ditangani segera kerana dikhuatiri menjejaskan imej dan sektor pelancongan pulau peranginan itu susulan dakwaan serangan terhadap seorang pelancong Eropah baru-baru ini.
Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, insiden yang didakwa berlaku minggu lalu itu tular di media sosial dan menunjukkan kecederaan serius dialami mangsa. – MalaysiaGazette
















