Abdul Razak menunjukkan logo Melaka Geopark yang disasarkan menjelang tahun depan, sekali gus meletakkan Melaka sebagai destinasi geopelancongan baharu negara.

MELAKA – Kerajaan negeri giat memperkukuh usaha ke arah pengiktirafan Aspiring Melaka Geopark (AMG) sebagai Geopark Kebangsaan menjelang tahun depan, sekali gus meletakkannya sebagai destinasi geopelancongan baharu negara.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, cadangan sempadan AMG merangkumi kawasan tanah dan pulau-pulau di tiga daerah utama iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Menurutnya, sebanyak lapan tapak warisan geologi telah dikenal pasti manakala 29 geotapak berpotensi turut disenaraikan, mengambil kira pelbagai elemen geowarisan, biodiversiti serta warisan budaya termasuk sejarah penempatan dan kesenian komuniti tempatan.

“Semua lokasi dicadangkan ini kita telah bawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan diluluskan untuk diangkat pengiktirafannya di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Pembangunan geopark ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, geotapak berpotensi yang dikenal pasti termasuk Tanjung Tuan, Pulau Besar, Sungai Rambai, Bukit Beruang serta beberapa lokasi pulau dan kawasan geologi unik lain di seluruh negeri.

Geopark ditakrifkan sebagai wilayah yang mempunyai tapak dan landskap geologi berkepentingan serta diurus secara holistik berasaskan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

Pada 30 Julai 2024, Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah memperakukan hasrat Melaka untuk disenaraikan sebagai Aspiring Geopark, sekali gus membuka laluan ke arah penilaian rasmi pengiktirafan kebangsaan.

MMKN pada Februari 2025 meluluskan penubuhan Jawatankuasa Aspiring Melaka Geopark bagi menyelaras pembangunan geopark sebagai produk pelancongan baharu negeri.

Jawatankuasa tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Mineral dan Geosains serta Bahagian Promosi Pelancongan bagi memastikan pelaksanaan lebih tersusun dan menyeluruh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast