Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Keputusan penempatan dan pertukaran anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan operasi jabatan dan kebajikan pegawai.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam masa sama, penempatan pegawai di Jabatan itu dilaksanakan berdasarkan keperluan perkhidmatan yang melibatkan waran perjawatan, kekosongan sedia ada serta kesesuaian gred jawatan.

“Jabatan juga sentiasa berusaha menambah baik bagi memenuhi permohonan penempatan dan pertukaran dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sepanjang tempoh antara 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2025, JIM menerima sebanyak 2,860 permohonan pertukaran pegawai pelbagai gred.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,332 pegawai telah berjaya ditukarkan dengan mengambil kira kebajikan pegawai dan keperluan perkhidmatan.

Terdahulu, katanya, JIM merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Azman Mazni yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 25 April lalu, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat bertugas.

Dilaporkan, Allahyarham Azman menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Papar, Sabah, menuju ke rumahnya di Sibu, Sarawak.

Zakaria berkata, JIM akan memberikan sokongan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham serta memastikan kebajikan warga kerja terus diberi perhatian yang sewajarnya.

“Sesungguhnya kehilangan ini amat dirasai. Allahyarham bukan sahaja seorang suami, ayah dan anak yang dikasihi oleh keluarga, malah merupakan sebahagian daripada keluarga besar Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata, JIM  menerima permohonan pertukaran Allahyarham Azman melalui saluran rasmi pada 10 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast