Aliff Syukri Kamarzaman.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan usahawan dan personaliti media sosial, Aliff Syukri Kamarzaman membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung kes fitnah.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Nor selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Abdul Kadir terhadap Aliff Syukri.

Kes berkenaan tertumpu kepada kenyataan yang didakwa berunsur fitnah apabila Aliff Syukri yang nama sebenarnya Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menuduh Abdul Kadir mempunyai tunggakan pelaburan mencecah jutaan ringgit.

Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada plaintif.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak hadir semasa keputusan dibacakan di mahkamah.

Abdul Kadir memfailkan saman pada 6 September 2023 mendakwa Aliff Syukri yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai di platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Dakwa beliau, kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.

Abdul Kadir menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif.

Beliau turut memohon permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah itu.

Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau sudah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast