Raiz Mukhliz Azman Aziz

MUAR – Seorang peniaga berputih mata selepas wang berjumlah RM610,000 miliknya hangus akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang ditawarkan secara online.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kes penipuan pukul 11.02 pagi, pada 28 April lalu daripada seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun.

“Mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada awal April lalu sebelum berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa ditawarkan pulangan tinggi sehingga 750 peratus serta dijanjikan bahawa urusan pelaburan akan diuruskan sepenuhnya oleh broker,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat beberapa kali transaksi ke dalam beberapa akaun bank yang berbeza dengan transaksi pertama dibuat pada 1 April lalu, diikuti beberapa transaksi susulan dalam bulan sama sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM610,000.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan yang kononnya diperolehi hasil dari pulangan pelaburan.

Ujar beliau, mangsa tampil membuat laporan polis dan jumlah keseluruhan kerugian melibatkan wang daripada tuntutan insurans milik mangsa.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan luar biasa.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah scam boleh disalurkan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

“Sentiasa mengikuti nasihat dalam laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapatkan maklumat operandi scammer,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast