Logo PKR. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Wanita Keadilan Pusat mengecam UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan kerana menyifatkan parti itu mengkhianati mandat dan mengorbankan kestabilan negeri tersebut.

Wanita Keadilan Pusat dalam satu kenyataan hari ini turut melahirkan rasa kesal terhadap UMNO-BN Negeri Sembilan yang disifatkan jelas mengkhianati mandat kestabilan yang diharapkan oleh rakyat.

Menurutnya, ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup, tindakan itu jelas membuktikan keutamaan sempit pihak terbabit yang sanggup mengorbankan kestabilan demi percaturan kuasa politik.

“Hakikatnya, ini bukan hanya pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap rakyat yang amat memerlukan kestabilan politik untuk menghadapi tekanan kos sara hidup, bukan permainan kuasa sempit,” katanya.

Tambahnya, Wanita Keadilan Pusat berdiri teguh bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik demi melindungi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

“Wanita Keadilan turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada kedaulatan Perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, 14 ADUN UMNO-BN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atas alasan kegagalan menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.

Situasi itu sekali gus meletakkan kerajaan negeri ketika ini dalam situasi tidak pasti, apatah lagi lima ADUN Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap tindakan ADUN BN tersebut. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast