KUALA LUMPUR — Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tampil mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan dakwaan penglibatan dalam gerakan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan.
Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Malaysia, Kusaaliny Mahendran berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan integriti pentadbiran Kerajaan Perpaduan terus terpelihara.
“Justeru, kami mendesak Perdana Menteri (PMX) untuk segera memecat Datuk Seri Utama Mohamad Hasan daripada jawatan Menteri Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, tindakan Mohamad yang didakwa menyokong usaha menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan beberapa hari lalu merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip kolektif pentadbiran negara.
“Tiada ruang untuk ‘musuh dalam selimut’ dalam pentadbiran negara,” tegasnya.
Dalam masa sama, Kusaaliny turut mengaitkan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai berpunca daripada percaturan politik dalaman UMNO sendiri.
Beliau mempersoalkan tindakan parti itu yang kini dilihat cuba mencari penyelesaian terhadap isu yang didakwa berpunca daripada langkah mereka sendiri.
“Kini, mereka menyeru untuk satu pertemuan bagi “merungkai” isu yang mereka cipta. Persoalannya, apa yang mahu dirungkaikan? Adakah ini sekadar alasan untuk menuntut kembali jawatan-jawatan yang hilang akibat kegagalan mereka mengekalkan kepercayaan ahli sendiri?
“Adakah UMNO sudah hilang rasa malu apabila terus-menerus membebankan rakyat dengan polemik kuasa di saat rakyat mahukan kestabilan?” soalnya.
Tambahnya lagi, situasi itu menimbulkan tanda tanya sama ada polemik berkenaan sekadar alasan untuk mendapatkan semula jawatan yang hilang akibat kehilangan sokongan dalaman.
Sehubungan itu, beliau menegaskan DAPSY akan terus mendesak kepimpinan tertinggi kerajaan supaya tidak berkompromi terhadap sebarang elemen yang boleh menjejaskan kestabilan dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Semalam, UMNO dalam satu kenyataan menegaskan parti itu menghormati pendirian Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun.
Bagaimanapun menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO Malaysia memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. – MalaysiaGazette
















