Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika ditemui wartawan pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID Sdn Bhd dan rakan kerjasama strategik di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Hubungan baik yang dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan negara sahabat di Asia Barat dilihat mampu membuka ruang kepada usaha diplomatik bagi membantu 10 delegasi Global Sumud Flotila (GSF) Malaysia yang ditahan rejim Israel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama beliau mahu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memainkan peranan aktif dalam membantu rakyat Malaysia yang ditahan.

“Insya-Allah saya akan meminta Menteri Luar melaksanakan usaha diplomatik dan tentunya hubungan baik Perdana Menteri dengan negara sahabat mungkin dapat diikhtiarkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha diplomatik itu bukan sahaja bagi mempermudahkan peserta GSF sampai ke destinasi, tetapi juga memastikan mereka dapat dibebaskan selepas misi berkenaan selesai.

“Ia supaya bukan sahaja mereka dipermudahkan untuk sampai ke destinasi bagi menghantar bantuan, tetapi setelah misi ini selesai mereka akan dapat dibebaskan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mendoakan agar misi Global Sumud Flotila diberikan perlindungan selain dapat dilaksanakan dengan selamat.

“Kita tahu inilah cabaran yang pasti akan dihadapi dan kita harapkan agar mereka mempunyai daya tahan dan kecekalan untuk menterjemahkan niat itu hingga sampai destinasi,” katanya.

Hari ini Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan sebanyak 22 kapal flotila yang dinaiki 186 individu telah dipintas, terputus hubungan serta diceroboh secara langsung.

Daripada jumlah itu, enam kapal yang ditahan dan diceroboh melibatkan 10 rakyat Malaysia, dengan insiden berlaku kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza di zon pelayaran antarabangsa.

Antara rakyat Malaysia yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin, Mohd. Shamsir Mohd. Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd. Hanafi Mohd. Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab. Ghani, Mohd. Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi. Enam kapal terbabit ialah Arkham III, Eros 1, Esplai, Bianca BCN, Freia dan Marea. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast