KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Besar memuji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengingatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar tidak membuat kenyataan secara semberono berhubung kedudukan Exco UMNO dalam kerajaan negeri.
Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pendirian yang dizahirkan Amirudin mencerminkan sikap kepimpinan yang matang dan bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
“Saya yakin beliau adalah seorang pemimpin yang bijaksana dalam menilai sesuatu isu serta mampu membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, Amirudin menegur kenyataan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr N Sathia Prakash supaya Exco Kerajaan Negeri daripada UMNO, Datuk Rizam Ismail dipecat.
Beliau yang juga ketua PKR Selangor mengingatkan pemimpin Kerajaan Perpaduan tidak mengeluarkan kenyataan ‘semberono’ seumpama itu yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik.
Dalam pada itu, Jamal turut menyatakan keyakinan terhadap pendekatan berhikmah yang diambil oleh Menteri Besar dalam menangani isu berbangkit, khususnya melibatkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan negeri.
“Pendekatan sedemikian amat penting bagi memastikan keharmonian politik serta kelancaran pentadbiran negeri dapat dikekalkan tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
Terdahulu seorang pemimpin PKR Selangor menggesa Menteri Besar memecat Exco Kerajaan Negeri daripada UMNO, Datuk Rizam Ismail.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan UMNO mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan PKR di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















