KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang menahan 10 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) seberat 230,349 kilogram (kg) semalam.
AKPS dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam masa yang sama sembilan kontena dikenal pasti mengandungi campuran sisa plastik dan metal scrap akan diserahkan kepada SIRIM untuk taksiran selanjutnya.
“Syarikat tempatan ini telah membuat pengistiharan palsu (false declaration) pada borang K1 bagi dagangan ini.
“Susulan itu, tindakan penguatkuasaan akan diambil dan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu katanya, Op Green Shield ke-26 semalam diketuai AKPS Pelabuhan Klang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang itu memeriksa 38 kontena.
“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















