Tunku Ismail mencemar duli untuk merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bangga terhadap pencapaian Johor yang mencatat prestasi memberangsangkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini dengan kejayaan menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion.

Menurut baginda, pencapaian itu turut merangkumi kejayaan Johor mencipta sejarah dengan merekodkan pelaburan sebanyak RM110 bilion pada tahun lalu.

Tunku Ismail memberitahu, jumlah berkenaan merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.

“Pencapaian ini secara tidak langsung membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor serta rakyat Malaysia.

“Saya juga dimaklumkan hasil negeri terus meningkat, mencecah RM2.68 bilion pada 2025, sekali gus menunjukkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan tadbir urus kerajaan negeri dalam mengurus sumber dan hasil dengan baik.

“Kejayaan ini didorong oleh pelaksanaan inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menjadi pemangkin utama kepada keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Titah baginda lagi, semua pencapaian itu menjadi petanda Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri contoh.

Tunku Ismail juga berharap momentum berkenaan akan terus diperkukuh agar Johor bukan sahaja maju, malah muncul sebagai negeri contoh yang unggul, berdaya saing dan disegani di peringkat nasional serta serantau.

“Sejak awal dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor, saya telah menegaskan bahawa keutamaan saya adalah memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan kualiti pendidikan, memperbaiki infrastruktur serta memperkasa sistem kesihatan,” titahnya.

Baginda bertitah, keutamaan itu diberikan bagi memastikan Bangsa Johor dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, stabil dan terjamin. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast