Tunku Mahkota Ismail bertitah merasmikan persidangan DUN ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memuji sidang Dewan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung dengan tertib, teratur dan penuh hormat.

Baginda bertitah, persidangan DUN tersebut mencerminkan kematangan demokrasi serta budaya politik yang semakin matang di negeri ini.

“DUN Johor merupakan sebuah dewan yang mulia dan menjadi wadah penting untuk merangka dasar serta mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan rakyat.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan wakil rakyat. Oleh itu, segala usaha baik yang telah dilaksanakan perlu diteruskan, manakala kelemahan yang ada harus segera diperbaiki.

“Setiap keputusan dan dasar yang dibuat mestilah benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan pembangunan negeri berjalan seimbang,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Baginda mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor agar terus fokus terhadap amanah yang telah diberikan dan tidak menganggap tugas mereka sekadar hadir ke persidangan semata-mata.

Titah baginda, tanggungjawab ADUN bukan sekadar hadir, tetapi memastikan setiap dasar dan keputusan membawa impak kepada rakyat.

“Kekalkan kesantunan, perbincangan yang matang dan semangat untuk berkhidmat. Insya-Allah dengan usaha yang berterusan, Johor akan terus maju, disegani dan dihormati.

“Jangan abaikan amanah rakyat dan pastikan Johor sentiasa menjadi Johor,” titah baginda lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast