RAWANG – Semua pihak dinasihatkan memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mentadbir negeri itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan yang perlu diutamakan pada waktu ini adalah mentadbir negeri dalam keadaan negara berdepan krisis ekonomi global.
“Biarkan keadaan di Negeri Sembilan tenang dulu. Seperti mana yang kita tahu ada isu yang perlu dileraikan ikut perlembagaan negeri.
“Sementara itu, tentunya ikut titah TYT Negeri Sembilan minta Menteri Besar teruskan tugas mentadbir negeri, keadaan krisis ekonomi begini, jadi tumpu itulah nak rebut apa lagi. Tunggulah sekejap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini hari ini.
Tambah Anwar, beliau telah menasihatkan rakan dalam Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan UMNO supaya menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit dengan rundingan.
“Kita sudah nasihat dan saya sudah sampaikan kepada kawan-kawan dalam PH kita juga sampaikan kepada pimpinan UMNO, kita boleh runding tapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat.
“Itu yang penting,” jelasnya.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu yang mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Kemudian, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO-BN menerusi sidang media tergempar umum menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu.
Walaubagaimanapun, Tuanku Muhriz menitahkan Aminuddin menjalankan tugas seperti biasa.
Namun krisis di antara institusi adat dan Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilihat terus memanas apabila kerajaan negeri dilaporkan mengarahkan Balai Undang Sungai Ujong dan kediaman rasmi berkaitan dikosongkan.- MalaysiaGazette
















