Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemintasan flotila misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh pihak tentera laut Israel di perairan antarabangsa di bahagian timur Laut Mediterranean berhampiran pulau Crete, Greece.

Tegas Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, tindakan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan mencabar asas kebebasan pelayaran serta keselamatan maritim global.

“Tidak cukup dengan pelanggaran berterusan terhadap hak dan kedaulatan negara di daratan, tindakan terbaharu rejim zionis Israel ini mencerminkan perluasan operasi ketenteraan ke perairan antarabangsa secara tidak terkawal, sekaligus mencabar secara langsung prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, berdasarkan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) kebebasan pelayaran merupakan prinsip asas yang menyokong kestabilan sistem maritim global.

Sehubungan itu katanya, tindakan unilateral terhadap kapal awam di perairan antarabangsa tanpa asas undang-undang yang sah berpotensi mewujudkan duluan ‘preseden’ berbahaya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Fahmi berkata insiden tersebut mencerminkan cabaran ketara terhadap ruang masyarakat sivil di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, misi kemanusiaan yang sepatutnya dilindungi kini berdepan risiko disekat atau ditafsirkan dalam kerangka keselamatan yang sempit.

“Penglibatan masyarakat sivil dalam usaha kemanusiaan merupakan tanggungjawab moral global yang tidak wajar dikriminalisasikan,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau berkata ABIM menuntut jaminan keselamatan kepada semua aktivis awam yang terlibat termasuk rakyat Malaysia, serta pembebasan segera mereka yang ditahan.

“Perkembangan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindak balas yang berprinsip,” katanya lagi.

Dilaporkan sehingga kini nasib, nasib 10 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih belum diketahui.

Mereka telah ditawan rejim zionis Israel selama lebih 30 jam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan menghubungi rakan sejawatnya di beberapa negara untuk memberi tekanan kepada Israel membebaskan rakyat Malaysia yang terlibat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast