Jemaah haji beratur menaiki bas ulang alik secara percuma yang disediakan 24 jam di Hotel Al Tayseer, Makkah.

MAKKAH – Jemaah haji gembira dengan perkhidmatan bas ulang alik secara percuma yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk ke Masjidil Haram sejak semalam.

Beberapa jemaah haji yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana dengan adanya perkhidmatan itu mereka boleh lebih kerap beribadat di Masjidil Haram.

Seorang jemaah, Mohd Zulpi Termizi, 54, berkata, sejak dia tiba di Makkah seminggu lalu, beliau berulang-alik ke Masjidil Haram dengan menaiki teksi tetapi kadar caj yang dikenakan tidak menentu.

Mohd Zulpi Termizi

“Saya pernah dikenakan bayaran sebanyak 100 riyal, 80 riyal. Paling murah pernah saya dapat 40 riyal.

“Kadang-kadang saya jalan kaki, tapi cuaca panas terik,” katanya yang berulang-alik dua kali sehari ke Masjidil Haram.

Beliau yang cukup gembira dengan perkhidmatan bas percuma ini bertekad mahu beribadat di Masjidil Haram lebih kerap kerana tidak perlu ‘menapak’ jauh lagi.

Sementara itu, jemaah dari Selangor, Mohd Arif Saroji, 55, pula menyifatkan langkah TH menyediakan bas percuma menjimatkan poket jemaah haji yang kerap berulang-alik ke Masjidil Haram.

Mohd Arif Saroji

“Saya sangat bersyukur sangat kerana sejak tiba di sini saya berjalan kaki lebih 1 kilometer ke masjid setiap hari. Kalau jalan kaki sebelum Zohor dan balik selepas Asar memang bahang.

“Terima kasih Tabung Haji beri perkhidmatan (bas) untuk memudahkan jemaah haji. Bas percuma ini juga beri penjimatan kepada perbelanjaan kami,” ujarnya yang pernah membayar teksi 40 riyal untuk perjalanan sehala.

Jemaah warga emas, Azizah Uzairi, 65, juga menambah, perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma ke Masjidil Haram ini sangat berbaloi kerana perjalanan dari tempat penginapan, Hotel Al Tayseer agak jauh dan laluannya berbukit menyukarkan untuk warga emas.

Disebabkan itu, katanya, dia baru berkesempatan sekali ke Masjidil Haram semasa melaksanakan umrah kali pertama sejak tiba di Makkah.

“Tetapi dengan adanya bas percuma ini, mak cik gembira dan rasa seronok untuk ke Masjidil Haram lebih kerap, insya-Allah.

“Terima kasih Tabung Haji kerana memahami masalah kami ni,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette seawal 2 pagi waktu tempatan hari ini mendapati, jemaah haji Malaysia memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan ini.

Ratusan jemaah haji yang pulang dari Masjidil Haram menggunakan perkhidmatan bas ini di Stesen Bas Jarwal, terletak kira-kira 300 meter dari Masjidil Haram.

Bas yang tersedia di stesen itu penuh dengan muatan jemaah.

Malah, MalaysiaGazette turut menempatkan petugas di stesen itu untuk memaklumkan mengenai operasi bas tersebut kepada jemaah haji. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TH sedia bas ulang alik percuma 24 jam untuk jemaah haji

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast