Temu bual SkopMG bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Bukit Damansara Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sering kali mengundang pelbagai tafsiran sinis namun masih ada garis pemisah yang jelas dalam menentukan hala tuju serta kedaulatan parti di dalam kerajaan hari ini, kata Khairy Jamaludin.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, hubungan yang terjalin bukan satu ikatan mutlak sebaliknya mempunyai garis masa yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi parti-parti terlibat.

“Kita perbetulkan istilah itu sikitlah. Dia bukan UMNO dengan DAP, dia BN dan PH dua gabungan koalisi adalah bersifat sementara.

“Banyak kali dah Datuk Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata, sehingga tamatnya penggal Parlimen ini. Jadi, kita tak boleh mendahului pendirian tersebut,” katanya menerusi program SKOP MG.

Khairy berkata, keberadaan wakil UMNO dalam Kabinet bukan sekadar pelengkap angka, tetapi berfungsi sebagai benteng dalam memastikan agenda yang bercanggah dengan prinsip parti tidak diluluskan begitu sahaja.

“Kita ambil contoh isu UEC dan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). Menteri-menteri UMNO dalam Kabinet memainkan peranan sebenarnya untuk menjaga garisan merah.

“Saya rasalah kalau UMNO tak ada dalam Jemaah Menteri dah lama dah URA dilukuskan tapi UMNO juga yang kata no walaupun dibawa oleh menteri DAP dengan begitu yakin sekali,” katanya lagi.

Mengakui cabaran yang dihadapi oleh rakan komponen BN dalam mendepani zaman gelap, Khairy berharap agar MCA dan MIC terus setia bersama gabungan itu demi masa depan Rumah Malaysia.

“Saya merayu kepada rakan-rakan dalam BN yang lain terutamanya MCA dan MIC, jangan tinggal, jangan keluar daripada BN.

“Kita akan melalui zaman gelap macam hari ini, tapi saya yakin politik ini ada kitarannya. Saya nak duduk bersama mereka di Bawah Rumah Malaysia untuk pulihkan semuanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast