Logo NexG di Bangunan Setia 1, Damansara Height, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.
Logo NexG di Bangunan Setia 1, Damansara Height, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mempertimbangkan langkah menggantung sementara atau menilai semula kontrak NexG Berhad sekiranya siasatan pihak berkuasa mengesahkan berlaku salah laku serius melibatkan bekas Ketua Pegawai Operasinya, Victor Chin Boon Long.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai menjelaskan langkah penggantungan bersyarat serta audit bebas atau audit forensik perlu dipertimbangkan bagi memastikan kepentingan awam dan wang pembayar cukai terus dilindungi.

Menurut beliau, kerajaan juga wajar menetapkan garis dasar lebih jelas bahawa syarikat yang memegang kontrak strategik negara mesti memberi maklum balas telus terhadap dakwaan awam dalam tempoh munasabah.

“Pendekatan ini penting bagi mengekalkan keseimbangan antara integriti awam, perlindungan dana kerajaan dan prinsip keadilan undang-undang.

“Isu tadbir urus NexG dan dakwaan terhadap Victor Chin adalah serius serta melibatkan kepentingan negara, namun belum diputuskan oleh mahkamah.

“Kerajaan tidak perlu bertindak terburu-buru, tetapi langkah kawal selia yang tegas dan bersyarat tetap wajar dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Barjoyai Bardai

Barjoyai menambah, mesej paling jelas kepada pasaran ialah kontrak kerajaan datang bersama keperluan tatakelola tertinggi, bukannya perlindungan daripada tindakan pengawasan.

Barjoyai turut menegaskan penamatan kontrak secara automatik tidak wajar dilakukan tanpa dapatan siasatan rasmi, audit forensik bebas atau keputusan mahkamah.

“Setakat ini tiada sabitan mahkamah terhadap Victor Chin atau NexG, dan tiada penalti diumumkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia atau mahkamah. Siasatan polis serta agensi penguat kuasa masih berjalan dan tiada kontrak kerajaan dibatalkan secara rasmi,” katanya.

Pada Oktober 2025, syarikat itu memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd memperoleh kontrak RM732.72 juta daripada Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan kad pengenalan nasional.

Kontrak tersebut melibatkan pembekalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA untuk Jabatan Pendaftaran Negara bagi tempoh enam tahun bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.

Dalam perkembangan berkaitan, NexG menegaskan syarikat kekal mematuhi piawaian kawal selia dan tadbir urus korporat, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut dakwaan Malaysia Corruption Watch (MCW) berhubung isu salah guna dana.

Victor Chin, yang berkhidmat sebagai COO dari November 2024 hingga September 2025, didakwa berpotensi menggelapkan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini menyerahkan memorandum kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin, bagi menuntut penjelasan terbuka kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast