KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO `menyindir’ Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bahawa Melaka tidak mempunyai `disko jalanan’ ala Bukit Bintang, namun berupaya menjana hampir berbilion ringgit daripada sektor pelancongan.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tahun lalu seramai 15 juta orang mengunjungi Melaka dan menjadikan negeri itu lokasi utama pelancongan di negara ini.
“Saya tidak perlu bentang cadangan, tapi saya akan bentangkan bukti pada Teresa Kok. Saya jemput kamu untuk datang ke Melaka dan saya akan bentangkan bagaimana negeri ini menjadi negeri utama pelancongan.
“Tidak perlu buat acara ala-ala disko jalanan macam di Bukit Bintang. Acara disko jalanan tajaan kerajaan, tiada langsung di Melaka,” ujarnya menerusi Facebook hari ini.

Perang mulut antara Dr Muhamad Akmal dan Ahli Parlimen DAP itu berlarutan selepas Teresa menggesa beliau membentangkan cadangan yang membina bagi menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ia susulan bantahan Dr Muhamad Akmal terhadap penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang, selama tiga hari yang berakhir semalam.
Dr Muhamad Akmal selanjutnya menyatakan, Melaka turut menganjurkan pesta air, namun ia diselitkan dengan elemen tradisional.
Jelas beliau, pengunjung yang datang diperkenalkan dengan pakaian tradisional dan nyanyian dan persembahan budaya, bukan menerusi disko jalanan.
“Kita kalau nak promosi perlancongan negara ini, bawa dan promosikan budaya yang kita ada supaya pelancong dapat hargai dan kita dapat perkenalkan budaya Malaysia di mata dunia, bukan ambil budaya luar dan promosikannya.
“Dan saya nak beritahu kamu bahawa disko jalanan sambil tembak air tu bukan budaya Malaysia. Kalau nak kelas belajar budaya Malaysia pun saya boleh bagi pada kamu wahai Teresa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















