Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama perwakilan yang hadir pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkongsi perasaan pertama kali menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) setelah diterima kembali sebagai ahli UMNO.

Menurut beliau, perasaannya sukar diungkapkan, bercampur antara sebak, syukur dan kenangan yang datang silih berganti.

“Di dewan inilah tersimpan begitu banyak cerita. Jatuh dan bangun, luka dan harapan, serta perjuangan yang pernah saya titipkan sepenuh jiwa.

“Melangkah ke hadapan bukan sesuatu yang mudah. Namun saya percaya, selagi kita tidak putus harapan, selagi itu ada ruang untuk kita bangkit semula. Bukan untuk mengulangi yang lama, tetapi untuk memperbaiki dan membina yang lebih baik,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Semalam, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO yang diadakan di WTC KL.

Pada 17 April lalu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan antara bekas ahli UMNO yang diterima masuk semula ke dalam UMNO menerusi gagasan Rumah Bangsa.

Sementara itu, Khairy mengajak seluruh ahli UMNO untuk merapatkan saf, menyatukan hati dan menyusun langkah bersama dengan semangat Rumah Bangsa.

“Moga dari dewan yang penuh sejarah ini lahir kembali kekuatan yang pernah menyatukan kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast