Penguat kuasa menahan satu pasangan yang berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI – Cubaan seorang wanita memperdaya pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) semasa pemeriksaan dalam bilik hotel di Desaru di sini ketika berkhalwat gagal dan tetap diberkas.

Semasa penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan di hotel berkenaan pada pukul 1 pagi kelmarin, seorang wanita yang hanya menyarung t-shirt labuh tanpa seluar tampil membuka pintu bilik.

JAINJ memaklumkan, wanita berkenaan membuka pintu bilik selepas diketuk dan memanggilnya namun pada awalnya, seperti tiada orang di dalam kerana senyap serta tidak menyahut.

“Pintu dibuka enam minit kemudian oleh seorang wanita yang memakai t-shirt labuh dan pada mulanya penguat kuasa tidak sedar wanita berkenaan tidak berseluar.

“Keadaan bilik gelap dan penguat kuasa membuka semua suis lampu dan mendapati tidak ada orang lain di situ.

“Bagaimanapun, pintu tandas ditutup dan berkunci dari dalam. Wanita itu memberitahu dalam tandas tersebut adalah kawan wanitanya,” menurut kenyataan berkenaan.

Penguat kuasa terus mengetuk pintu dan dibuka tiga minit kemudian tetapi tiada orang keluar sebelum masuk ke dalam tandas dan menemui seorang lelaki berdiri di sebalik pintu dalam keadaan bogel.

Penguat kuasa menberikan tuala dan seterusnya meminta lelaki itu keluar.

Hasil soal siasat, pasangan berkenaan masuk ke hotel pukul 10 malam dan mengaku hanya berdua-duaan, bukan suami isteri serta bukan adik beradik tiri.

Lelaki dan wanita tersebut masing-masing berumur 19 tahun, kedua-duanya belum berkahwin serta mereka berkenalan dan belajar di kolej yang sama.

Susulan tangkapan tersebut pihak JAINJ menghubungi ibu bapa pasangan berkenaan untuk memaklumkan kes tersebut selain proses menjamin anak-anak mereka.

Tambah JAINJ, ibu bapa pasangan berkenaan amat kecewa dan anak-anak mereka mendakwa tidak balik ke kampung semasa cuti tiga hari sejak Jumaat lalu kerana ‘menghadiri program kolej’.

Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.

Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast