Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution hadir Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan dilaksanakan sepenuhnya pada Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menjangka ia bakal menjadi detik penting Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih lancar dan teratur.

Jelasnya, dokumen baharu itu melibatkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini selaras dengan keperluan semasa dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

“Saya percaya JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan juga Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) sudah pun bersedia dengan pelan A dan pelan B mereka dan saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah ini dengan baik pada Jun ini kerana sampai satu tempoh kita kena mengeluarkan dokumen yang baru sifatnya dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan KDN di sini hari ini.

Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan KDN dalam usaha melaksanakan kerja naik taraf dan migrasi data bagi MyNIISe bagi memperkukuh keselamatan data dan meningkatkan kecekapan sistem demi memastikan perkhidmatan imigresen yang lebih stabil, cekap serta mesra pengguna

Kemudian, Saifuddin Nasution pada Januari lalu berkata, Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dalam tempoh enam bulan lagi sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.

Katanya, pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen KDN dalam memastikan sistem yang lebih efisien serta mampu menangani isu dan aduan rakyat berkaitan pengurusan identiti.

“Saya berbangga kerana mempunyai satu pasukan yang sangat berdisiplin, kemas dari segi perancangannya dan kita sudah di hujung hujungnya menyaksikan setiap usaha reformasi dan perubahan yang kita buat sudah menuju ke penghujung untuk dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast