Seorang pekerja kilang ditemui tidak sedarkan diri selepas mendaki puncak Gunung Lambak di Kluang, semalam

KLUANG – Seorang pekerja kilang ditemui tidak sedarkan diri selepas mendaki puncak Gunung Lambak di sini bersama-sama tiga rakannya semalam.

Mangsa, Muhamad Nur Hakimi Mohd Haris, 32, dan rakannya yang datang dari Felda Sungai Sibol, Kulai sebelum itu sudah berjaya sampai ke puncak gunung tersebut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semasa perjalanan turun semalam, mangsa mengalami sesak nafas dan pengsan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas berjaya dibawa turun oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebelum itu pihak polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 1.42 petang mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di atas gunung tersebut.

Jelasnya, kejadian berlaku pada ketinggian kira-kira 800 meter dari aras laut.

“Operasi menyelamat dijalankan bersama pasukan bomba, namun hujan lebat di lokasi kejadian menyukarkan usaha membawa turun mangsa.

“Mangsa berjaya dibawa turun pukul 6.15 petang, namun pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Perubatan mendapati dia telah meninggal dunia,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk tindakan lanjut selepas pengecaman dilakukan oleh ahli keluarga.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan Mohd Ridzuan Mohd Zait berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.28 petang sebelum seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira 2,300 meter dari kaki gunung sebelum dibawa turun menggunakan pengusung dan tali penyelamat.

“Sebaik tiba di kaki gunung, pemeriksaan pihak ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast