Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu selepas selesai Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Damar Sari, NRES, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2026

PUTRAJAYA – Pengambilan doktor dan jururawat baharu tidak akan terjejas walaupun kerajaan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan penyusunan semula perbelanjaan mengurus itu tidak melibatkan pengambilan pegawai perubatan serta pembinaan kemudahan kesihatan yang menjadi keutamaan kerajaan.

Menurutnya, terdapat kekeliruan berhubung langkah rasionalisasi perbelanjaan tersebut yang seolah-olah menjejaskan sektor kesihatan.

“Saya hendak jelaskan mengenai penyusunan semula kajian perbelanjaan. Ada kekeliruan. Pengambilan doktor baharu, jururawat itu tidak terjejas. Pembinaan klinik tidak terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, walaupun berlaku pelarasan perbelanjaan di sektor pendidikan, pembinaan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar tetap diteruskan.

“Ada orang agak cepat melenting. Dia kata, bagaimana boleh tutup atau kurangkan perbelanjaan untuk sekolah atau hospital, tidak,” jelas beliau.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Menurut kementerian itu, pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.

Ia merangkumi peruntukan teras untuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang kekal sebagai antara kementerian menerima peruntukan tertinggi tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast