Mohd Rusdi Mohd Darus menunjukkan beberapa barang yang dirampas selepas melumpuhkan sindiket perjudian dalam talian, selepas sidang akhbar di Kompleks KDN Setia Tropika, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melumpuhkan sindiket perjudian dalam talian didalangi warga asing yang mengaut keuntungan hampir RM1 juta sebulan dalam serbuan di Puteri Harbour, Iskandar Puteru, Rabu lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dilakukan di sebuah pangsapuri dan lapan warga asing ditahan termasuk seorang kanak-kanak.

“Tangkapan terdiri daripada dua lelaki warga China dan lima wanita warga Thailand berusia antara 33 hingga 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia dua tahun.

“Sindiket ini yang didalangi seorang suspek lelaki warga China berusia 38 tahun menyasarkan pemain dari Thailand dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan menggunakan negara ini sebagai pusat operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, hari ini.

Katanya, modus operandi sindiket itu ialah semua pemain judi dari Thailand dan UAE itu akan menghubungi operator melalui telefon bagi melaksanakan transaksi kewangan menggunakan akaun bank di negara itu.

Menurutnya, operator yang bekerja dalam sindiket itu akan memasukkan mata atau ‘point’ ke dalam setiap akaun pemain judi dalam talian.

Mohd Rusdi berkata, hasil siasatan mendapati sindiket perjudian itu telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mampu meraih keuntungan kira-kira RM900,000 sebulan.

Beliau memberitahu, turut dirampas dalam operasi itu wang tunai berjumlah RM2,500, tujuh komputer, 34 telefon pintar pelbagai jenama serta sebuah mesin pencetak.

Kesemua suspek kini ditahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut, katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya melaksanakan sebanyak 458 operasi membabitkan sebanyak 1,452 tangkapan dengan pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Antaranya, ujar beliau, membabitkan kes berprofil tinggi termasuk sindiket pasport terbang, counter-setting dan pemerdagangan manusia. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast