Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika hadir beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Rafizi Ramli yang memberi keterangan  hari ini tidak menolak kemungkinan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberikan keterangan mengenai usaha sama kerajaan dengan gergasi perisian cip dunia, ARM Holdings bernilai RM1.1 bilion.

Beliau yang ditemani dua peguam berkata, walaupun tidak menjangkakan tindakan itu namun sedia memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa itu tanpa kompromi.

“Yang itu kena tanya SPRM, bukan kepada kami, kes apa, sudut mana dan sejauh mana. Kita kena proses ini, tiada apa saya sembunyikan, kalau ia berakhir di mahkamah, saya yakin kita ada kes yang cukup kuat di mahkamah nanti,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Terdahulu Rafizi tiba di ibu pejabat SPRM pukul 9.28 pagi  bersama dua peguam dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW berwarna putih.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM). 

Sebelum ini, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, bekas Menteri Ekonomi itu dipanggil dirakam keterangan hari ini jam 10 pagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ketika ditanya sejauh mana siasatan SPRM itu mengambil masa hari ini, Rafizi tidak dapat memberi kepastian kerana ia terpulang kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes itu.

“Ambil keterangan mungkin singkat, mungkin juga lama meskipun habis nanti, saya tidak boleh kongsikan butirannya kepada wartawan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast