KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang ditahan selepas dipercayai memiliki pisau ketika menghadiri malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, akan dihantar ke Hospital Bahagia selepas disyaki mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, keputusan itu dibuat selepas wanita terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
“Tertuduh telah dibawa ke mahkamah pagi tadi bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958.
“Mahkamah memutuskan supaya wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia kerana disyaki mempunyai masalah mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tertuduh kini ditempatkan di Penjara Kajang bagi tujuan tahanan reman dan sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun depan.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita ditahan selepas dipercayai memiliki senjata berbahaya ketika menghadiri malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, wanita tempatan berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas pemeriksaan mendapati suspek membawa sebilah pisau.
Beliau juga memaklumkan, beberapa individu mencurigakan turut ditahan sebagai langkah pencegahan dalam memastikan keselamatan sepanjang festival tiga hari tersebut. – MalaysiaGazette
















