PASIR GUDANG – Lima beradik berstatus yatim piatu bernasib baik kerana memiliki datuk penyayang yang sanggup menjaga mereka walaupun warga emas itu mengalami kebocoran buah pinggang dan masih bekerja menyara mereka.
Mohd Rudi Abdul Rahman, 63, tanggungjawab tersebut perlu dipikulnya selepas anaknya, Mohd Ridzwan, 37, dan menantu, Linda Mohd A Aziz, 35, maut selepas motosikal ditunggang dirempuh pemandu kereta yang mabuk pada 2024.
“Keadaan kesihatan saya semakin merosot selepas disahkan mengalami kebocoran buah pinggang pada awal April lalu namun saya masih terus bekerja demi menyara isteri serta lima cucu yatim piatu.
“Saya masih bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah syarikat swasta di sini. Ini bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarga terutama cucu berusia antara lima hingga 19 tahun,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan barangan dapur yang disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di Flat Taman Cendana di sini hari ini.
Hadir sama menyampaikan sumbangan wang tunai, Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Datuk Faridah P Hamsa.
Mohd Rudi bersyukur kerana majikannya turut prihatin dengan nasibnya dengan memberi kelonggaran untuk bercuti sakit serta memenuhi temu janji di hospital.
“Memang saya buntu memikirkan masa depan cucu sekiranya saya terpaksa berhenti kerja kerana kami tiada pendapatan lain.
“Doktor menyatakan saya mungkin terpaksa membuat rawatan dialisis sekiranya keadaan semakin buruk pada masa depan,” katanya.
Mohd Rudi berkata, buat masa ini keluarganya juga bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selain pencen penakat arwah anak lelakinya daripada Pertumbuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).
Menurutnya, isterinya, Ramlah Kasiran, 58, juga tidak dapat bekerja kerana perlu mengurus makan minum dan persekolahan cucunya termasuk memberi penjagaan kepada cucu bongsu berusia lima tahun.
“Cucu sulung saya, Nur Aleesha Aindah yang bergelar orang kurang upaya (OKU) memang sudah berusaha mencari kerja di beberapa pasar raya namun gagal mendapat pekerjaan.
“Walaupun merupakan anak syurga, dia mampu mengurus dirinya serta lebih matang selepas ibu bapanya sudah tiada,” katanya.
Dia berkata, cucunya itu menunjukkan minat untuk bekerja kerana mahu membantu meringankan beban keluarga.
“Kami amat berharap ada pihak yang sanggup menawarkan pekerjaan kepada Nur Aleesha Aindah mengikut kemampuannya, misalnya sebagai pembantu kedai atau juru jual,” katanya.
Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menyalurkan barangan dapur bernilai keseluruhan RM1,000 demi meringankan beban keluarga berkenaan.
Mohd Ridzwan dan Linda maut selepas motosikal ditunggang dirempuh pemandu kereta dipercayai di bawah pengaruh alkohol pada 16 November 2024.
Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah, 19, Mohamad Ikmal Danish, 17, Nur Puteri Shahkira, 16, Nur Puteri Shahmira, 14, dan Nur Aisyah Humairah, 5 menjadi yatim piatu.- MalaysiaGazette
















