Syafiq Aziz (dua kiri) dan kepimpinan Bersatu Johor dalam sidang akhbar di pekarangan HSA, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang menerima pengiktirafan sebagai antara hospital terbaik dunia bagi tahun ini seperti indah khabar daripada rupa.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz berkata, ini kerana isu asas melibatkan kebajikan pesakit seperti kemudahan parkir masih gagal diselesaikan.

Beliau berkata, keadaan itu tidak wajar berlaku kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM500 juta untuk HSA pada 3 September 2023 semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

“Projek ini merangkumi pembangunan bangunan blok serta pembinaan parkir bertingkat. Namun amat mendukacitakan apabila sehingga kini, pelaksanaan projek tersebut dilihat terlalu perlahan.

“Tiga tahun berlalu, fasa pertama hanya bermula pada April 2026, itu pun terhad kepada kerja-kerja baik pulih blok bangunan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di HSA di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih membimbangkan pembinaan parkir bertingkat masih belum menunjukkan sebarang perkembangan.

Dakwanya, tiada tanda-tanda jelas di tapak pembinaan seolah-olah projek berkenaan masih belum benar-benar dimulakan.

Keadaan parkir sedia ada juga sangat tidak memuaskan dengan kawasan utamanya di belakang hospital berada dalam keadaan berlubang dan tidak diturap dengan sempurna, katanya.

Sementara parkir sementara yang disediakan pula ujarnya, terletak kira-kira 500 meter dari bangunan hospital tanpa laluan pejalan kaki yang selamat.

“Pesakit terpaksa berjalan di tepi longkang dan melalui kawasan semak yang jelas membahayakan terutama kepada warga emas dan pesakit kurang upaya.

“Walaupun pihak kerajaan telah pun menyediakan perkhidmatan bas percuma, namun sekiranya lambat pesakit akan berjalan kaki ke hospital,” katanya.

Selain itu katanya, kepadatan parkir yang sentiasa penuh turut memaksa pengguna meletakkan kenderaan secara bertindih, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan dan kesulitan kepada semua pihak.

Syafiq berkata, dengan jumlah kehadiran pesakit di poliklinik HSA mencecah sekitar 2,000 orang sehari, isu kemudahan asas itu adalah satu keperluan mendesak yang memerlukan tindakan segera.

Sehubungan itu, ujarnya, Bersatu Johor menggesa pihak kerajaan untuk memberikan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan projek parkir bertingkat.

Kata beliau lagi, ini termasuk menyegerakan kerja-kerja naik taraf kemudahan parkir sedia ada dan juga menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat dan mesra pesakit.

Begitu juga katanya, jaminan bahawa pemotongan bajet tidak menjejaskan kebajikan pesakit dan petugas kesihatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast