KUALA LUMPUR – Dua tenaga pengajar sebuah badan berkanun di Terengganu direman empat hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 sebagai balasan mengeluarkan sijil lulus kelayakan kompetensi.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20 dan 40-an telah ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri itu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025 dan wang rasuah yang diminta adalah sebagai balasan memberikan ‘kelulusan segera’ sijil kompetensi kepada setiap peserta kursus.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima antara RM900 hingga RM1,500 bagi kira-kira 31 orang peserta dan wang rasuah diperoleh melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.
Tambah sumber, SPRM kini sedang meneliti sama ada penipuan sijil kompetensi ini berlaku dalam skala lebih besar dan tidak menolak kemungkinan untuk melakukan semakan terhadap setiap sijil yang telah dikeluarkan oleh agensi berkaitan untuk mengenal pasti kesahihan sijil tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.-MalaysiaGazette
















