Jimmy Puah Wee Tse

JOHOR BAHRU – Jawapan Ketua Pemuda MCA Pusat, Ling Tian Soon berkenaan kewajaran menambah lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Johor disifatkan sebagai tidak meyakinkan.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse mendakwa, Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor itu sebenarnya mengelak daripada menjawab persoalan paling asas.

“Ling Tian Soon dalam responsnya sebenarnya mengelak daripada menjawab persoalan paling asas iaitu apakah justifikasi sebenar Kerajaan Negeri Johor untuk menambah lima ADUN lantikan yang mempunyai hak mengundi?

“Pertama, membandingkan dengan Pahang dan Sabah adalah satu bentuk kekeliruan yang disengajakan. Kedua-dua negeri ini bukan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tian Soon hari ini mempertikaikan bantahan Jimmy Puah berkenaan pertambahan lima ADUN tersebut sedangkan dakwanya terdapat negeri bawah kerajaan PH yang turut berbuat demikian.

“Parti mereka, PKR sendiri juga menerima beberapa ADUN lantikan di Pahang dan Sabah. Sebelum dia kritik kerajaan negeri buat sesuatu, lebih baik dia memandang sendiri adakah parti mereka menerima (lantikan ADUN)?” ujar Tian Soon.

Dalam sidang DUN semalam, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong membangkitkan isu tersebut yang didakwa akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau dilaporkan berkata, daripada mewujudkan ADUN lantikan adalah lebih baik melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN.

Jimmy Puah kemudian tidak bersetuju dengan lantikan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu cabaran terhadap legitimasi demokrasi negeri ini.

Mengulas lanjut, Jimmy Puah berkata, di Pahang, Menteri Besarnya datang daripada Barisan Nasional (BN) manakala Sabah pula diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau menjelaskan, di kedua-dua negeri tersebut PH hanya rakan dalam kerajaan campuran dan bukan pihak yang memegang kuasa dominan.

Maka katanya, sebarang pelantikan adalah hasil kompromi politik, bukan pilihan dasar yang dipimpin oleh PH.

Sebaliknya kata beliau, Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir PH sejak 2008 tidak pernah melaksanakan langkah sedemikian.

“Inilah perbandingan yang lebih tepat. Jika di negeri yang PH kuasai sepenuhnya pun tidak wujud amalan ini, maka persoalannya apakah justifikasi Johor untuk melaksanakannya,” katanya.

Alasan ‘membawa masuk kepakaran’ juga tidak begitu meyakinkan, katanya.

“Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan pandangan profesional melalui penubuhan jawatankuasa penasihat atau dengan membenarkan individu tertentu hadir sebagai ahli ex officio dalam sidang DUN malah turut serta dalam perbahasan dan proses dasar,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya, isu pokoknya ialah hak mengundi dan apabila itu diberikan, individu tersebut tidak lagi sekadar menyumbang pandangan tetapi turut terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan dan perundangan.

Tambahnya, itu bukan lagi soal penambahbaikan pentadbiran tetapi satu perubahan terhadap struktur perwakilan demokrasi.

“Dengan kata lain, jika tujuan sebenar hanyalah untuk mendapatkan kepakaran, mengapa perlu diberikan hak mengundi?

“Jika tanpa kuasa mengundi pun matlamat tersebut boleh dicapai, maka apakah motif sebenar di sebalik keperluan memberikan kuasa tersebut,” soalnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast