Mohd Jafni berucap dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Pelaksanaan dasar perumahan yang lebih inklusif dan menyeluruh adalah langkah kerajaan Johor menghapuskan tanggapan ‘rumah mampu tengok sahaja’.

Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memberitahu, langkah itu melibatkan pelbagai aspek supaya rakyat benar-benar dapat menduduki dan memiliki kediaman sendiri menerusi rumah mampu milik.

“Daripada bantuan sewaan, rumah transit, pemilikan, sehingga pembiayaan semuanya disusun supaya rakyat bukan sekadar melihat peluang tetapi benar-benar mampu mencapainya.

“Saya ingin tegaskan di dewan yang mulia ini bahawa usaha ini akan terus diperkukuhkan supaya ungkapan ‘rumah mampu tengok sahaja’ tidak lagi menjadi realiti rakyat Johor, tetapi digantikan dengan satu hakikat yang lebih bermakna bahawa rakyat Johor benar-benar mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Mohd Jafni (BN- Bukit Permai) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Nor Rashidah Ramli (BN- Parit Raja) mengenai projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, bagi tempoh 2025 hingga 2026, pelbagai bantuan diperkasa termasuk Bantuan Beli Rumah sebanyak RM5,000, Bantuan Masuk Rumah RM2,000 serta Bantuan Sewa Rumah RM2,500 atau bersamaan RM250 sebulan selama 10 bulan.

“Kerajaan negeri turut menetapkan komposisi pembangunan perumahan sebanyak 60 peratus unit pasaran bebas dan 40 peratus Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Harga RMMJ pula ditawarkan secara berperingkat antara RM42,000 hingga RM300,000, dengan syarat pendapatan isi rumah yang ditetapkan mengikut kategori, bermula bawah RM4,000 hingga bawah RM10,000 mengikut jenis rumah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast