ISKANDAR PUTERI – Johor berjaya memulihkan sebahagian besar projek infrastruktur yang mengalami kelewatan menerusi intervensi strategik dan tindakan pemulihan berfasa bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek tersebut melibatkan projek di peringkat Persekutuan dan negeri.
Beliau memberitahu, daripada 200 projek Persekutuan, 51 projek dikenal pasti lewat, manakala 20 daripada 124 projek negeri turut merekodkan status yang sama.
“Hasil tindakan proaktif itu menyaksikan beberapa projek kritikal siap sepenuhnya, termasuk penambahbaikan jajaran Laluan FT001 Johor Bahru-Air Hitam di Kulai pada 2023 dan pembinaan laluan baharu di Jalan Kampung Rahmat, Batu Pahat pada 2024.
“Bagi tahun 2025, projek menaik taraf jalan kepada empat lorong dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 kilometer juga telah berjaya disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.
Mohamad Fazli menjawab soalan Ee Chin Li (DAP-Tangkak) mengenai adakah kerajaan negeri bersedia menyenaraikan secara terbuka projek-projek gagal atau lewat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab.
Berkenaan status ‘projek sakit’ yang ditamatkan sebelum ini, Mohamad Fazli menjelaskan, beberapa projek kini berada di fasa akhir pelaksanaan oleh kontraktor penyelamat dan dijangka siap sepenuhnya dalam tahun ini.
Ini melibatkan pembinaan jambatan konkrit di Jalan Gelang Patah-Pendas, penggantian jambatan Kampung Sawah di Pontian, serta penggantian jambatan di Sungai Machap, Kluang, selain projek di Kampung Perigi Acheh yang dijangka siap pada 2027.
Kerajaan negeri katanya, kini mengambil pendekatan lebih tegas dan berstruktur termasuk menamatkan kontrak kontraktor yang gagal, melaksanakan tender semula, serta mengenakan denda Liquidated Ascertained Damages (LAD) dan penahanan bayaran kemajuan.
Sekiranya kelewatan semakin serius katanya, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca serta merangka langkah penyelesaian berkesan bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas.
Sebagai langkah penambahbaikan masa hadapan, beliau berkata, tadbir urus akan diperkukuh dengan memastikan isu utiliti dan status tanah diselesaikan sepenuhnya sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan, selain memperketatkan penilaian keupayaan kontraktor.- MalaysiaGazette
















